“Saya sarankan kepada Ahli Majlis, jika tidak tahu buat kerja baik letak jawatan sahaja. Ini amaran saya…, jangan pisang berbuah dua kali,” Titah Sultan Ibrahim

DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar murka dengan tindakan seorang Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang menggunakan Bahasa Cina dalam urusan surat rasmi MBIP.

Baginda bertitah apa sahaja surat rasmi sama ada membabitkan kerajaan negeri mahu pun pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor seharusnya ditulis dalam Bahasa Melayu.

“Apa sahaja urusan surat menyurat membabitkan kerajaan negeri atau Ahli Majlis PBT semuanya mesti dalam Bahasa Melayu kerana ia menggunakan kepala surat rasmi kerajaan negeri walaupun ia berkaitan pemakluman mesyuarat.

“Bila masa dalam negeri Johor surat rasmi ditulis dalam dua bahasa,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru hari ini (25 September).

Baginda bertitah demikian bagi mengulas tindakan seorang Ahli Majlis MBIP menggunakan Bahasa Cina dalam surat rasmi urusan PBT bagi memaklumkan mengenai sebuah majlis dialog dan ia turut viral dalam laman media sosial.

Tuanku Sultan Ibrahim bertitah semua pihak harus menghormati penggunaan Bahasa Melayu dalam sebarang urusan surat rasmi berkaitan kerajaan negeri mahu pun PBT yang digunapakai sejak dahulu di Johor.

“Saya sarankan kepada Ahli Majlis, jika tidak tahu buat kerja baik letak jawatan sahaja. Ini amaran saya…, jangan pisang berbuah dua kali,” titah Baginda.

sumber : FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Surat rasmi Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dalam bahasa Cina itu tular di media sosial. Rata-rata netizen beranggapan surat rasmi tersebut yang tidak menghormati bahasa kebangsaan sebagai tidak wajar

ini juga menyalahi akta Bahasa Kebangsaan 1963/67

sebelum ini juga terdapat isu penggunaan Bahasa Melayu di dalam urusan rasmi menjadi isu yang hangat diperkatakan.

KUALA LUMPUR 25 Jun – Penggunaan bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi Kementerian Kewangan sewajarnya dihentikan sebagai menghormati kehendak Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Bekas Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, edaran kenyataan dalam bahasa selain daripada bahasa kebangsaan tidak wajar dilakukan kerana bahasa kebangsaan sudah mencukupi dan difahami semua pihak.

Malah, menurut Rais yang kini merupakan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), amalan mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Mandarin tidak pernah dilakukan sejak dirinya terlibat dalam mahu pun di luar kerajaan selama lebih 40 tahun.

“Saya fikir amalan tersebut tidak wajar dilakukan kerana kerajaan tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan dalam bahasa selain daripada bahasa kebangsaan atau bahasa Inggeris yang dibenarkan di bawah prosedur Parlimen.

“Oleh itu, saya dengan rasa rendah hati memohon jika benar terdapat amalan sedemikian supaya tidak diteruskan dan kita menghormati kehendak Perlembagaan Persekutuan menggunakan bahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diundang sebagai ahli panel dalam Forum Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14): Mendepani Cabaran Melestari Institusi Beraja anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dekat sini hari ini.

Yang turut hadir sebagai ahli panel, Exco Pendidikan Pemuda PPBM, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir; Felo Utama Ins­titut Kajian Etnik, UKM, Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong dan Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz manakala Sayed Munawar Sayed Mohd. Mustar selaku moderator.
sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *