Johan, Rahim Respon Kritikan DJ Radio Sekarang Selalu Ketawa Dengan Lawak Sendiri

Baru-baru ini, penyampai radio otai, Isma Halil Hamzah menegur cara penyampaian DJ radio pada hari ini yang suka ketawa dengan lawak sendiri. Tambahnya lagi, tindakan penyampai radio itu menunjukkan seolah-olah mereka tiada pengetahuan.

Terbaru, penyampai radio Rahim Sepahtu dan Johan turut memberi respon terhadap cara penyampaian di radio seiring dengan era ini.

Kenapa kami perlu terasa hati?

Rahim menerusi laporan Metro Online menerima teguran dan nasihat daripada penyampai radio otai itu. Malah, dia menyifatkan teguran tersebut merupakan pandangan peribadi Isma Halil Hamzah.

Teguran itu adalah pandangan peribadi dan ia tidak mewakili sesiapa. Sebagai orang lama, kami menghormati pendirian Isma Halil.

Kenapa kami perlu terasa hati kerana kenyataan itu tidak merujuk mana-mana stesen mahupun penyampai radio. Selagi ia tidak menyentuh sensitiviti bangsa dan agama, penggunaan bahasa tidak sopan dan isu yang boleh mengundang kecelaruan masyarakat, kami diberi kelonggaran.

Cara penyampaian radio berbeza ikut peredaran zaman – Johan

“PERKARA ini bukanlah baru kerana kami ada mendengarnya (buat lawak dan ketawa sendiri). Ia cara kami iaitu menghiburkan diri sendiri sebelum menghiburkan orang lain,” kata Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz, 35, atau Johan Raja Lawak.

Dia yang juga penyampai radio ERA FM memberi penjelasan selepas penyampai radio berpengalaman, Isma Halil Hamzah, 46, mendakwa penyampai radio pada masa ini gemar membuat jenaka dan ketawa sendiri.

Johan menegaskan, zaman sentiasa berubah dan cara penyampaian di radio juga berbeza mengikut peredaran zaman.

“Inilah trend terkini yang mana pendengar mahukan muzik, info (maklumat) dan hiburan. Bagaimana berhibur, ia terpulang pada penyampai radio masing-masing,” katanya.

Menurutnya, kerana cara itulah itulah ERA FM kekal sebagai stesen nombor satu negara iaitu selama sembilan tahun berturut-turut.

“Sudah sembilan tahun saya berkhidmat sebagai penyampai radio, Alhamdulillah ERA FM memiliki tujuh juta pendengar,” katanya.

Katanya, dia bukanlah mahu ‘syok’ sendiri tetapi cara penyampaian di radio berubah mengikut trend pendengar.

“Ini bukanlah lagi zaman terdahulu apabila penyampai radio mainkan lagu dan bercakap, kemudian main lagu semula,” katanya.

Menurutnya, berikutan sasaran stesen radio itu adalah remaja, penyampai radio perlu menampilkan kelainan, mengikut apa yang mereka suka.

“Saya sentiasa beringat bahawa akan tua suatu hari nanti, sama seperti dia (Isma Halil). Bagaimanapun stesen radio tetap akan muda dan saya perlu menerima kenyataan zaman sudah berubah,” katanya.

Johan berkata, sama ada dia akan menyertai perubahan itu atau kekal mengikut cara sendiri, ia terpulang pada dirinya.

“Saya sentiasa berpegang cara penyampaian radio pada zaman lalu sudah tidak ada,” katanya.

Biarpun begitu Johan tetap menghormati pandangan Isma Halil kerana setiap individu memiliki pendapat masing-masing.

Penyampai radio sekarang, buat lawak gelak sendiri

TERDAHULU, isu ini menjadi panas beebrapa hari ni apabila Penyampai Radio senior abang Isma Halil Hamzah telah mengeluarkan kenyataan yang berbunyi “SAYA tak faham dengan penyampai radio sekarang, buat lawak gelak sendiri. Apa yang mereka lakukan membuatkan pendengar hanyut entah ke mana,” kata penyampai radio berpengalaman, Isma Halil Hamzah, 46.

Isma melahirkan kekesalan dengan sikap penyampai radio pada masa ini yang menjadikan stesen radio sebagai bahan ketawa semata-mata.

“Masih terngiang-ngiang di fikiran saya, kenapa lah penyampai radio asyik nak buat lawak, orang lain tak gelak mereka yang gelak. Tindakan itu menunjukkan seolah-olah mereka tiada pengetahuan.

“Cukup-cukuplah dengan bahan ketawa sedangkan radio berperanan memberi kesedaran serta ilmu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Isma berpendapat trend itu berlaku disebabkan format baharu ditetapkan stesen radio bertujuan menarik perhatian pendengar.

“Saya amati bahasa yang digunakan penyampai radio baharu memang kasar. Mereka bercakap tidak berhati-hati dan memanggil orang lain sebagai ‘korang’.

“Sudah-sudahlah berjenaka, televisyen padat dengan program jenaka dan terkini, radio pula,” katanya yang kini bersiaran menerusi siaran radio Internet, Bapakku FM.

Menurutnya, keadaan itu berlaku kerana bekas peserta rancangan realiti dan program lawak ditawarkan sebagai penyampai radio.

“Jika diimbau kembali, penyampai radio terdahulu perlu menjalani uji bakat bersama ratusan orang tetapi trend terbaru, tangkap muat.

“Penyampai radio yang lalu dinilai melalui ilmu pengetahuan. Kami perlu memiliki suara yang besar, mesti ada ‘pukulan’ untuk menarik pendengar,” katanya yang juga bekas penyampai radio THR di saluran Gegar Permata Pantai Timur.

Jika konsep jenaka dikekalkan, Isma merasakan masyarakat tidak akan dididik dan setiap kata-kata penyampai radio tidak bermanfaat.

“Penyampai radio perlu beri kesan supaya pendengar boleh ingat, bukannya jenaka yang entah apa-apa. Sayanglah dengan bakat orang muda, kerana mereka mahu menjadi penyampai radio,” katanya.

Isma yang bekas penyampai Radio Muzik pada 1994 berkata, amalan berjenaka sedia ada menjadikan kelompok pendengar semakin mengecil.

“Radio bukan untuk berhibur semata-mata tetapi menyampaikan maklumat dan mendidik,” katanya.

Kredit: Harian Metro / ohbulan