“Kenapa Nak Kritik Sampai Mak Ayah Dia”- Kerana Kekalahan Ke Atas Vietnam, Individu Serang IG Shahrul Saad.

KEKALAHAN Harimau Malaya 0-1 ke atas Vietnam dalam aksi ketiga Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh, Hanoi pada Khamis rupa-rupanya tidak dapat diterima oleh sebahagian penyokong bola sepak tempatan.

Kritikan dan pandangan penyokong selepas berlangsungnya perlawanan sudah menjadi perkara biasa bagi semua pemain serta pengurusan bola sepak.

Namun malangnya, ada segelintir penyokong bola sepak yang dianggap keterlaluan apabila melemparkan kritikan terhadap keluarga pemain untuk melepaskan geram susulan kekalahan itu.

Menurut isteri kepada pemain pertahanan Harimau Malaya, Shahrul Mohd Saad, dia begitu terkilan kerana ada beberapa penyokong yang menghantar direct message (DM) di Instagram menghina keluarga suaminya.

Syuhadaa Adilla, 27, memberitahu sebelum ini dia tidak pernah ambil peduli dengan segala kritikan negatif berkaitan bola sepak terhadap suaminya.

Syuhadaa memuat naik status respon kepada penyokong yang menghina keluarga suaminya.

“Saya kenal Shahrul. Dia jenis yang tidak akan memberi respons terhadap sebarang kritikan kepadanya. Mungkin mereka bengang apabila Shahrul tak layan di media sosial, jadi mereka DM saya dan yang jadi mangsa saya.

“Selepas perlawanan kelmarin (Khamis), banyak mesej yang masuk, tetapi saya tidak baca semuanya. Cuma ada beberapa mesej yang membuatkan saya terkilan kerana mereka menghina keluarga Shahrul,” jelasnya kepada mStar.

Jelas Syuhadaa, pada mulanya dia tidak melayan mesej-mesej tersebut tetapi apabila sudah melampaui batas, membuatkan dia turut memuat naik status ditujukan kepada mereka yang meninggalkan komen negatif.

“Sebagai seorang pemain, saya tahu Shahrul sudah beri 100 peratus komitmen di padang. Apa yang jadi bukan kehendaknya.

Shahrul antara pemain pertahanan yang penting dalam skuad Perak dan kebangsaan.

“Saya memang tidak masuk campur apabila sebelum ini kritikan berkaitan permainan, tapi bila mesej yang sangat melampau saya jadi kecewa. Tambahan pula, sekarang ini lebih beremosi memandangkan saya sarat mengandung lebih lapan bulan.

“Selain itu, apabila mereka mengaitkan nama mak ayah Shahrul ia memang tidak patut lebih-lebih lagi ayah mentua saya kini dalam keadaan tak sihat.

“Saya faham perasaan marah semua penyokong apabila kita kalah, semua orang kecewa, tetapi janganlah keterlaluan,” ujarnya yang bakal menyambut kelahiran anak kedua November ini.

Sementara itu salah seorang penyokong Perak, Amirul Ramli turut bengang dengan sikap sesetengah peminat bola sepak yang terlalu ‘over’.

“Memang sedih tengok Harimau Malaya kalah di Hanoi. Tetapi kita bernasib baik kerana tewas hanya jumlah yang kecil jika dibandingkan dengan ranking Vietnam sekarang di tangga ke-98 dunia.

“Mereka juga merupakan juara Piala AFF tahun lepas malah di peringkat AFC juga bukan calang-calang pasukan.

“Kalau kita tengok gol lawan semalam mungkin nampak silap daripada Shahrul tetapi perlu tahu bahawa jika situasi itu berlaku dalam pasukan Perak ia berbeza. Ini kerana ketika bermain bersama Perak, Shahrul dan penjaga gol berkomunikasi dengan baik.

Amirul turut memuat naik posting mengenai perlawanan Malaysia-Vietnam.

“Tidak perlu salahkan Shahrul seorang kerana dalam padang tu ada lagi 10 lagi pemain lain dan masing-masing ada kelemahan sendiri.

“Buat penyokong-penyokong lain, tidak perlu marah sehingga menyerang keluarga Shahrul,” jelasnya.

Tambah Amirul, semua orang berharap hendak beraksi hingga ke peringkat Piala Dunia, namun mentaliti sesetengah penyokong sangat memalukan.

“Mentaliti seperti inilah kena ubah kalau nak tengok pemain-pemain kita ke peringkat lebih tinggi.

“Sebagai penyokong, mentaliti kita sendiri kena ubah, bukan mengutuk sesuka hati dan mengganggu peribadi keluarga pemain,” jelas penyokong setia Seladang ini.

sumber : mstar