Zed Zaidi: Ini belanjawan paling ‘kelakar’ terhadap penggiat seni

Belanjawan 2020 dibentang kerajaan semalam dikatakan menunjukkan golongan artis atau seniman terus terpinggir.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi malah menyifatkan pengumuman dibuat Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat terhadap penggiat seni khususnya pelakon sebagai “belanjawan paling kelakar”.

Menurutnya, kerajaan perlu memikirkan formula yang bermanfaat bukannya membentangkan berkenaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang sebelum ini sudah dipraktikkan mereka terlebih dulu.

“Sepatutnya Belanjawan 2020 cerita pasal peruntukan lebih besar. Belanjawan 2020 ni paling kelakar. Kerajaan tak sepatutnya bentangkan pasal KWSP (untuk golongan artis) sebab ia dah lama wujud,” katanya

Menurut pemilik nama sebenar Rozaidi Abd Jamil itu, kerajaan perlu lebih peka dalam mengagihkan peruntukan kepada industri kreatif agar ia boleh merangsang ekonomi melalui penghasilan filem, drama dan teater misalnya.

“Seperti sebuah ekosistem yang lengkap, keuntungan diperoleh daripada penjualan tiket filem digunakan membayar cukai, bila ada wang, penerbit boleh menjalankan program tanggungjawab sosial dan beri peluang pelajar jalankan latihan industri di syarikat mereka. Ini semua ada hubung kait,” katanya.

Kata Zed, 39, melalui kaedah itu, peluang pekerjaan buat anak seni juga boleh terus diwujudkan sekaligus mengurangkan masalah pengangguran sedia ada.

“Harga bayaran drama daripada stesen televisyen pun tak naik, macam mana nak bayar KWSP?

“Ni hanya tambah beban, perniagaan tak dapat untung, lagi rugi dan tutup selain menyebabkan industri akan lesu dan lagi ramai artis akan datang mengadu tak ada pekerjaan,” katanya.

Beri perhatian pada kru belakang tabir

Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Khir Mohd Noor pula berkata, Belanjawan 2020 perlu memberi fokus secara keseluruhan pada semua nasib golongan artis termasuk pekerja profesional di belakang tabir sesebuah produksi.

Katanya, kebanyakan kru di belakang tabir tidak memiliki kediaman sendiri.

“Kalau nak fokus, fokus semua, mereka juga bekerja macam yang lain-lain,” katanya.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Freddie Fernandez pula berharap kerajaan di masa akan datang dapat mempergiat usaha untuk merancakkan industri muzik yang disifatkannya suram.

Menurut Freddie, industri muzik memerlukan bantuan kerajaan dalam memberi galakan untuk mengembangkan bakat baru dan menganjurkan program latihan industri.

Katanya, syarikat rakaman pada masa kini tidak yakin dengan pulangan bakal diterima, menyebabkan mereka tidak mahu melabur untuk mengasah atau menerima bakat baru sebagai artis di bawah naungan mereka.

“Terserah pada artis itu untuk (menggunakan konsep) Do It Yourself (DIY) melabur dalam bakat sendiri dan memasarkan diri mereka sebagai produk untuk dapat sambutan. Bagaimana pula jika artis tu tidak berkemampuan?” ujarnya.

Kata Freddie, kerajaan perlu ada kesinambungan untuk memasarkan Malaysia sebagai negara yang ada budaya sendiri melalui karya baru, sentiasa dicipta dan diperdengarkan kepada peminat seni suara.

“Kena memikirkan mekanisme untuk membantu merancakkan industri muzik dan bukannya berharap pada industri barat atau K-pop,” katanya.

Bagaimanapun, memandang dari sudut positif, Freddie beranggapan kerajaan sebenarnya belum sempat meraih keputusan muktamad melalui perbincangan yang pernah dilakukan dengan penggiat seni muzik sebelum ini.

“Kita ada perbincangan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, tapi mungkin mereka belum lagi rangka program khusus atau perancangan yang boleh diterjemahkan sebagai aktiviti muzik.

“Walaupun tiada geran terus pada industri muzik seperti dilakukan dulu, Belanjawan 2020 diperuntukkan untuk sektor pelancongan dan pengecualian cukai tertentu boleh membawa lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang seni dan budaya termasuk muzik, teater filem dan konsert,” katanya.

Pada pengumuman belanjawan 2020 dibentangkan semalam, Lim berkata, KWSP akan memperluaskan perlindungan kepada pekerja kontrak di bawah kontrak untuk perkhidmatan dan profesional.

Sebagai permulaan, skim itu akan dijalankan secara sukarela bagi pekerja dalam industri seni dan hiburan melalui kerjasama antara KWSP dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan RM1.1 bilion kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sebagai usaha menyokong penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY2020).

Kerajaan juga mencadangkan insentif cukai yang disasarkan ke atas sektor kesenian dan pelancongan iaitu kepada syarikat yang menganjur aktiviti kesenian dan kebudayaan dan warisan di Malaysia.

Sumber: Mkini