Pernah dicucuh besi paanas. Kisah disblk gelak tawa Alia dan Aimi yg membuatkan kita sebak mengenangkannya

Hari ini Cikgu Fadli berkongsi kegembiraan selepas meluangkan masa untuk membelikan kelengkapan persekolahan untuk Alia dan Aimi. Bagi mereka yang mengikuti setiap posting Cikgu Fadli pasti mengingati kisah Alia dan Aimi yang sangat memilukan.

Kami himpunkan perkongsian2 yang pernah disiarkan Cikgu Fadli sebelum ini untuk tatapan semua.

Part 1: Perkongsian 17 April 2019

“Cikgu, saya tidur dalam bilik air hampir setiap malam. Kena basuh baju 5 orang guna tangan. Adik saya pula tidur kat luar atas simen,” kata Alia sambil tersenyum.

Demi Tuhan aku tidak pernah sebak seperti hari ini. Dah banyak kes aku santuni, kes Alia paling meruntun hati.

Dicucuh besi panas

Perlahan dia selak kaki seluarnya dan kata,

“Cikgu. Ni parut kawan mak cucuh dengan besi panas.”

“Sakit tak?” tiba-tiba terpancul soalan bodoh dari aku.

Dia tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepala. Senyumannya manis sungguh. Senyuman paling manis aku pernah saksikan.Senyumannya itu merobek hatiku. Terasa dikoyak-koyak, terasa dicarik-carik hati ini.

Betapa dia menerima semua dugaan ini dengan senyuman dan ketabahan. 2 tahun bukan satu tempoh singkat. Didera ibu dan pasangan ibu sendiri (pengk1d).

Hari ini, polis berjaya mengesan adik perempuannya yang berusia 10 tahun. Punya la neneknya lega bila adiknya dapat diselamatkan. Dan si pengk1d celaka itu ditangkap polis. Pengk1d itulah yang banyak kali mencucuh Alia dan adiknya dengan besi panas.

Pernah merotan badan mereka bukan hanya di kaki, bahkan badan dan kepala. Ya, kepala pun pernah dirotan. 😭 Entah apa d0sa anak kecil yang comel ini.

Si ibu masih bebas. Namun aku percaya tidak lama. Sehari dua lagi pasti akan ditangkap juga.

Kisahnya begini…

Ibu dan ayah Alia bercerrai 2 tahun lepas. Hak penjagaan dapat kepada ayah Alia dan mereka tinggal di rumah neneknya.

Ramadan 2017, si ibu datang kata nak melawat Alia dan adiknya untuk berbuka puasa. Namun sebaik keluar rumah, bayang mereka tidak lagi kelihatan. Alia kini berusia 13 tahun. Adiknya pula 10 tahun. Badannya kurus keding dan kecil bagai budak darjah 5. Allahu, sedihnya tengok fizikal dia.

Alia ini murid bijak. Pernah mendapat tempat pertama dalam kelas semasa tahun 4. Namun sejak dilarikan ibu kandung, dia dan adiknya tidak bersekolah. Adiknya pun murid yang pintar. Namun nasib mereka berdua dilarikan oleh ibu yang tidak bertanggungjawab. Tidak lagi bersekolah sejak itu.

Bahkan i/c Alia pun ibunya tidak buatkan meskipun usianya dah mencecah 13 tahun. Kejamnya. 😓

Pasangan ibunya, pengk1d

Ibunya ada kawan (pasangan). Seorang pengk1d. Si pengk1d durjana inilah paling banyak mendera mereka. Ibu kerja direct selling sahaja. Menyewa bilik bersama pasangan durjana dan Alia serta adiknya.

Bertahun hidup dengan sengsara, sampai beberapa hari lepas, Alia berjaya meloloskan diri dan lari ke rumah neneknya. Terus neneknya bawa ke balai polis dan laporkan kes penderaan ini.

Bila diperiksa dan ternyata ada kesan dera yang berparut ditubuhnya. Serbuan polis semalam tidak berjaya menjumpai adiknya. Namun hari ini, adiknya pula dapat diselamatkan dan si pengk1d durjana dapat ditangkap. Tahniah Polis diRaja Malaysia!

Aku meluangkan masa lebih kurang 20 minit bersama neneknya dan Alia. Banyak cerita yang mereka kisahkan pada aku. Setiap cerita yang Alia bagitahu, semuanya dalam senyuman. Ah anak. Tabah sungguh hatimu.

Senyumanmu itu sangat-sangat memilukan. Kerana aku tahu kau menyorok 1001 kisah duka dan derita disebalik senyuman manismu. Seronok Alia bila aku hadiahkan buku-buku tulisan aku. Dia sangat suka membaca.

“Alia. Ini untuk Alia tau. Ada cikgu tulis kata-kata semangat dalam ni. Bacalah. Dan ini nombor telefon cikgu. Ada apa-apa masalah, telefon cikgu ya!”

Alia mengangguk tanda faham. Sebelum aku pergi, dia hulur tangan untuk bersalam. Dikucup tanganku penuh ikhlas. Dia senyum dan tatap mata aku dalam-dalam.

“Cikgu. Terima kasih. Terima kasih.”

Ya Tuhannn… Hampir saja air mata aku jatuh. Sedaya upaya aku telan setiap titisan air mata.

Aku perlu kuat depan Alia. Aku patut memberinya semangat. Aku hendak dia tahu aku seorang yang boleh dia harap saat semangatnya hilang.

Demi Tuhan, aku sangat ingin memeluk dia saat itu. Jika tidak kerana tegahan agama, anak ini pasti aku peluk erat-erat. Matanya itu, senyumannya itu, raut wajahnya, memberi perasaan sebak yang sangat.

Aku hanya mengangguk-anggukkan kepala sahaja lantas beredar. Aku tidak lagi boleh duduk lama kerana takungan air mata hampir tidak boleh ditahan lagi.

Alia. Terus kuat. Terus tabah. Bacalah buku-buku cikgu. Ada semangat untukmu dalam buku-buku itu.

Alia. Kamu simpan nombor cikgu. Jangan malu jangan segan untuk hubungi untuk apa-apa sekali pun. Alia. Kamu terus kuat dan tabah. Doa cikgu sentiasa ada bersama.

Alia. Kamu akan baik-baik saja. Tenanglah. Senyumlah. Alia. Cikgu bukan sesiapa. Namun cikgu akan selalu ada. Sentiasa. Ingat tu.

Lokasi Alia aku takkan dedahkan kerana kes dalam siasatan polis. Namun aku akan ziarahi dia lagi dalam masa terdekat.

#DanaKITA memberi sumbangan pada neneknya dan Alia tadi. Kos persekolahan Alia nanti Dana Kita akan bantu sepenuhnya. Dari sekecil-kecil benda, hingga benda paling besar. Bab pelajaran, Dana Kita akan bantu penuh!

Part 2: Perkongsian 18 April 2019

“Kurusnya awak. Umur dah 13 tahun, tapi berat 20kg je. Awak makan apa masa mak jaga?”

“Saya makan nasi kosong tanpa lauk cikgu. Tu pun Babah (pengk1d) bagi sikit je. Dua tiga suap je sekali makan,” balas Alia. Aku perhati jarinya kelingkingnya. Agak aneh jari itu kerana tidak lurus.

“Kenapa dengan jari awak?”

“Tak boleh lurus cikgu. Lengan pun sama. Agaknya kesan lama duduk dalam bilik air,” pantas neneknya menjawab.

Termenung aku mendengar jawapan itu. Apa ke kejam manusia sebegini rupa. Nasi kosong dihidang pada budak sebesar ini dan dikurung dalam bilik air saban hari.

Dia bercerita bagaimana dia mengumpil pintu bilik sedikit demi sedikit setiap hari. Bila ibu dan babahnya perasan, dia dipukul. Dirotan. Dicucuh dengan besi panas membara. Rambutnya dipotong sesuka hati. Tombol pintu ditukar baru.

Meminta sedekah

Entah berapa gelen air mata aku telan semasa mendengar kisahnya. Namun Alia tidak mengalah. Anak kecil ini penuh bersemangat mengumpil pintu lagi sehingga suatu hari usahanya berjaya.

Pintu itu terbuka semasa tiada orang di rumah. Terus Alia ambil kesempatan melarikan diri dengan perut kelaparan dan tiada duit dalam poket. Merayau dia kemudian meminta sedekah dari orang yang lalu lalang. Mujur ada yang kasihan beri dia sedikit wang. Dia gunakan duit itu untuk membeli makanan sebelum terpaksa meminta sedekah lagi untuk pulang mencari neneknya.

Ada insan yang baik hati berinya sedikit duit. Lepas la dia naik LRT menuju ke suatu tempat persinggahan yang tidak jauh dari rumahnya. Berjalan kaki dia menuju ke rumah nenek. Sebaik sampai pintu diketuk, salam diberi. Neneknya membuka pintu dan kehairanan siapa budak kurus di depan rumahnya.

Neneknya gagal mengenalinya kerana sangat ketara perubahan fizikal Alia.

“Nenek. Ini kakak,” katanya lantas memeluk neneknya. Berpelukan mereka berdua dengan juraian air mata umpama air sungai yang mengalir.

Ah. Setiap patah perkataan yang Alia ungkap, aku dapat bayangkan umpama aku berada di situasi itu. Sebaknya ya tuhan.

Dirotan mak dan babah

“Cikgu. Tengok ni,” katanya seraya menunjukkan tangannya.

“Ni kesan apa?”

“Mak dan babah rotan. Kat pinggang ada juga. Kepala saya pun masih sakit lagi kena ketuk dengan rotan buluh,” katanya perlahan.

Aku hilang kata-kata. Tidak tahu nak beri reaksi macamana. Agaknya dia perasan aku tengah menahan sebak, Alia tukar topik perbualan.

“Cikgu. Alia dah baca sedikit buku cikgu. Best! Tapi ada juga yang sedih. Nenek pun menangis baca,” katanya sambil tersenyum.

“Wah. Alia suka ya?”. Kepala diangguk-anggukkan.

“Alia nak sekolah?”

“Nak cikgu.”

“Nanti Alia dah sihat, cikgu belikan Alia baju baru, kasut baru, beg baru, alat tulis dan semua benda. Semua benda cikgu akan tanggung. Semua benda cikgu akan belikan baru. Alia nak tak?”

“Nak, cikgu.”

Bersinar sinar matanya memandang aku. Perasaan gembira dan seronok dia tidak mampu disorok lagi. Bahagia betul aku melihat mata yang bersinar-sinar gembira itu.

“Cikgu,” panggilnya perlahan.

“Apa?”

“Cikgu dah tulis banyak buku kan?”

“Tak ada la banyak sangat. Tujuh naskah semuanya. Kenapa? Awak minat menjadi penulis?”

Tiada jawapan. Wajahnya malu-malu. Kepala dianggukkan sambil memandang lantai. Wah! Seronok betul aku.

“Bagusnya. Alia pasti boleh menjadi penulis yang hebat nanti. Alia lalui pengalaman yang jarang orang ada. Cikgu pasti Alia akan berjaya menjadi penulis yang hebat nanti. Alia belajar rajin-rajin nanti tau. Nanti cikgu ajar Alia menulis ya,” balasku.

Matanya terus memandang tepat ke dalam mataku. Bersinar penuh harapan. Senyuman manis menguntum dibibir dan kepala dianggukkan berkali-kali.

Ah anak. Jiwa kau sungguh kuat. Sangat!

Dalam situasi sekarang pun kau masih berfikir untuk belajar, untuk menulis, menanam cita-cita dan untuk terus melangkah.

Sebelum beredar, Alia menghulur tangan untuk bersalam. Tanganku dikucup penuh hormat. Kemudian dia sandarkan kepalanya didada aku. Saat ini memang aku sangat sebak.

Aku gosok kepalanya dan doakan yang baik-baik untuk dia. Saat itu aku lihat kolam matanya pula bertakung. Aku tak hendak melihat hujan diwajah saat langit tidak mendung. Kerana aku sendiri pun menahan diri sepenuh hati, lantas aku pusing dan berlalu pergi.

Tuhan, aku tahu aku banyak d0sa. Namun aku ingin bermohon padaMu agar menjaga anak ini dan rahmati dia. Limpahi hidupnya dengan kegembiraan dan kasih sayangMu. Amin.

Alia tidak ‘disentuh’

“Alia, pernah tak mak awak atau babah awak serah awak pada orang lelaki? Pernah tak mana2 kawan lelaki mak sentuh tubuh awak, suruh buka baju dan sebagainya?” tanya aku dengan debaran didada.

“Tak pernah cikgu.”

Allahu. Rasa nak sujud syukur dengar jawapan itu tadi. Terima kasih Allah kerana menjaga maruah anak ini.

Maknya dah ke dalam juga malam tadi. Ayahnya lah yang mencari adik Alia sampai jumpa dan belasah pengk1d tu semalam. Mujur polis cepat sampai sahaja.

Gambar adiknya saya tak boleh sebar atas banyak isu. Saya tak tulis pun pasal adik dia. Dan banyak lagi kisah saya terpaksa peram dan tidak boleh tulis. Lagi sedih tengok adiknya penuh luka. Berat adiknya 14kg sahaja sedangkan umur 10 tahun. 😭

Part 3: Perkongsian 19 April 2019

“Cikgu. Inilah adik Alia. Aimi,” ujar neneknya sebaik aku sampai. Terus aku mendekati Aimi. Dia menghulur tangan untuk bersalam. Dikucup tangan aku penuh hormat.

Aku pegang tangannya yang kecil itu. Ada parut kesan rotan juga.

“Siapa buat?” soalku perlahan.

“Babah,” balasnya pendek. Sayu aku menatap wajah comel Aimi. Wajahnya redup, senyumannya manis sekali. Sama seperti senyuman Alia.

“Awak tidur kat mana setiap malam?”

“Atas simen luar bilik air cikgu.”

“Pernah kena cucuh dengan besi panas?”

Kepala dianggukkan. Dia menunjukkan kesan pada kakinya. Kemudian dia selak bajunya menunjukkan parut yang masih baru dipinggang dan belakang badan.

“Besi panas macamana yang babah cucuh?”

“Ala cikgu. Besi penyepit tu. Babah buka dapur gas, babah panaskan sampai nampak merah macam bara lepas tu babah cucuh kat badan. Sakit cikgu.”

😭😭😭😭😭😭😭😭

“Kenapa Alia tidak larikan diri waktu malam masa mak dan babah tidur?”

“Mak dan babah tak tidur.”

“Mak dan babah hisap ddah?”

“Aah. Mak dan babah hisap ice.”

Dah agak dahhhh. Patut hilang pertimbangan dan jadi s*tan masing-masing.

Allahu… Anak sekecil ini, sanggup diperlaku sekejam itu. Apa d0sanya?

Badannya kurus dan kecil. Tanda tidak cukup khasiat. Dan badan kecil ini dipaksa tidur atas simen sejuk setiap malam?

Dua tahun bukan tempoh yang singkat. Dua tahun dinafikan hak. Dua tahun tidak makan sedap-sedap. Dua tahun diperlakukan tidak seperti manusia biasa.

Aku ubah topik perbualan. Cukuplah bertanya tentang pengalaman pahitnya. Aku tunjukkan buku yang aku bawa. Naskah buku terbaru tulisan aku dan bertanya,

“Awak pandai baca?”

Dia tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepala.

Memandangkan Aimi sudah dua tahun tak ke sekolah, aku cuma tunjuk perkataan ‘GURU’ yang ada dikulit buku dan minta dia eja.

Aimi murid bijak

“Cuba Aimi eja cikgu nak dengar.”

“Lagi-Lagi Cerita Bilik Guru,” jawabnya lancar. Terkejut aku. Aku minta dia eja satu perkataan tapi dia baca tajuk buku dengan lancar. Nenek dia pandang aku dengan senyuman dan berkata,

“Cikgu, waktu dia darjah 2 dulu dia dapat nombor satu dalam kelas. Dia murid yang pandai.”

Patutlah. Jernih dan bijak air mukanya. Rupanya memang bijak budaknya. Sebijak Alia juga.

Tapi sayang, sudah dua tahun haknya sebagai kanak-kanak dan murid tidak diberi. Sudah dua tahun dia meninggalkan alam persekolahan. Aku berharap, dia pantas mengejar silibus bila masuk ke sekolah semula nanti.

Ralit dia membelek buku aku helai demi helaian. Dia nampak kepenatan, maklumlah, satu hari yang penuh dengan bermacam kisah dia lalui.

Tidak lama kemudian, Aimi terlena. Tidur dengan nyenyak sekali. Semoga kau mimpikan yang indah saja, anak. Hidup kamu penuh ranjau dan onak.

Namun cikgu sangat bersyukur kamu ditemui dengan selamat. Dan keluar keluar dari neraka dunia tanpa cacat.

Alia. Aimi. Sentiasa ingat. Sebesar mana ujian kita, ada lagi yang lebih berat.

Alia. Aimi. Kena selalu ingat. Hidup ini bukan hanya tentang kita. Hidup ini sentiasalah menyebarkan cinta.

Alia. Aimi. Hari ini kita dibantu. Hari esok bila ada kemampuan, bantulah orang lain pula. Menghulur tangan pada yang dalam kesusahan itu amalan mulia.

Sesungguhnya Tuhan tidak hanya menguji kalian. Bahkan Tuhan turut menguji kami yang ada disekeliling ini. Apa kami ambil peduli atau biarkan saja.

Tidak banyak tapi sentiasa. Tidak ramai tapi ada. Tidak kaya tapi cakna.

– Hidup biar pun tidak kaya, sekurang-kurangnya cubalah untuk berjasa –

Part 4: Perkongsian 10 November 2019

Guess what? I’m with Alia and Aimi right now. 😍

Kami nak keluar shopping persiapan persekolahan Alia dan Aimi ni. Sebaik aku sampai, aku call Alia, “Cikgu dah sampai.”

Dari tingkat 7 flat ni mereka berlari keluar dan menjerit, “Yeayyy. Cikgu datang.” Sampai ke bawah dengar jeritan keterujaan mereka. Sebaik jumpa, mereka bersalam dan terus tak sabar-sabar bercerita,

“Adik dapat nombor 23. Kakak pula dapat nombor 8. Esok hari report card.”

Wahhh. Teruja betul aku. Anak berdua ini dua tahun tak ke sekolah akibat dikurung dan didera. Baru masuk sekolah bulan 7 baru ni, terus dapat keputusan yang baik.

3 bulan je sekolah setelah 2 tahun meninggalkan alam persekolahan, mereka dapat catch up dengan cepat. Potensi anak-anak ini sungguh besar!

Ada banyak lagi sebenarnya kisah mereka yang aku tulis. Cukuplah dulu 3 link buat kalian yang baru follow aku. Stail aku, aku tidak sekadar memberi bantuan dan berlalu pergi. Aku membina hubungan. Aku sentiasa cuba mendapatkan perkembangan mereka dari masa ke semasa.

Begitulah biasanya. Tidak banyak tapi sentiasa. Tidak ramai tapi ada. Tidak kaya tapi cakna.

Shopping kelengkapan sekolah.

Beli baju sekolah, pakaian seragam, kasut dan sandal jalan-jalan. Lepas tu kami pergi makan. Wahhh, seronok betul anak perempuan aku berdua ini.

Macam-macam mereka bercerita. Macam-macam kisah mereka berkongsi. Senyuman tidak lekang dari wajah mereka.

Kerana senyuman seperti inilah aku gagahkan diri. Kerana anak-anak seperti ini aku melarikan diri dari segala kesibukan dan meluang masa bersama mereka. Demi anak-anak seperti ini, aku sanggup kurangkan rehat.

Semoga kehidupan mereka akan menjadi lebih baik. Semoga mereka membesar dalam kasih sayang. Dan semoga bila besar nanti, mereka akan mencontohi sikap ini.

Membantu tanpa syarat. Tanpa ada pertalian darah, tanpa mengira kaum dan agama. Membantu kerana kita semua manusia.

Tidak banyak tapi sentiasa. Tidak ramai tapi ada. Tidak kaya tapi cakna.

#DanaKITA
#MFS

Sumber : Mohd Fadli Salleh