Kerja kilang sara keluarga, bapa si cilik iras Neelofa tak kisah anak jadi artis

Laman media sosial hari ini dipenuhi dengan kisah kanak-kanak perempuan Naura Auni yang akhirnya bertemu Neelofa setelah dikatakan wajahnya mirip selebriti tersebut.

Bapanya Che Fahdlullah berkata, jemputan ke program MeleT0P malam tadi dianggap rezeki kerana anaknya yang berusia lima tahun itu sering menyatakan hasrat ingin bertemu Neelofa.

“Dia memang gembira. Masa dalam kereta lepas balik dari program tu, dia cakap seronok dapat jumpa Neelofa. Sampai rumah pun dia bercerita hal sama pada sepupu-sepupu,” katanya.

Menurut lelaki berusia 32 tahun berkenaan, dia tidak menolak sekiranya terhadap pihak yang ingin memberi tawaran kepada Naura dalam bidang seni.

“Saya pun bukan kerja bagus, kerja kilang sahaja. Kalau ada orang bagi tawaran berlakon, jadi model atau iklan, saya tak tolak.

“Tapi janganlah sampai ia menjejaskan Naura, sebab dia masih kecil. Tapi saya anggap rezeki, untuk simpanan masa depan dia juga,” katanya.

Tambah bapa kepada dua cahaya mata itu, isterinya Nor Asikin sedang menjalani proses berpantang di Kelantan selepas melahirkan anak kedua pada 5 November lalu.

Bercerita tentang wajah anaknya yang mirip Neelofa, Fahdlullah tidak mempercayai perkara tersebut sehingga beberapa rakan Facebooknya memberikan komen.

“Mula-mula saya macam tak percaya. Nak mengaku nanti orang cakap perasan. Jadi saya post macam biasa lepas tu ramai komen kata macam Neelofa,” katanya.

Sumber : mStar Online

Via omm